Assalamualaikum semua, saya telah mencipta blog ini kerana keperluan dan salah satu elemen pemarkahan dalam subjek Pengantar Penulisan yang saya ambil semester ini. Saya telah terlepas kelas ini sebanyak dua kali kerana sebelum ini saya berada dalam kumpulan lain, tetapi malangnya kumpulan itu telah di mansuhkan kerana pelajar cuma empat orang sahaja.
Pertama kali saya dalam kelas itu, pensyarah membincangkan tentang elemen-elemen yang ada dalam penulisan. Elemen-elemen ini penting untuk menghasilkan penulisan yang berkualiti tidak kira bidang atau lapangan apa yang ingin dibincangkan oleh penulis. Salah satu daripada elemen-elemen tersebut adalah tentang mesej. Setiap penulis mesti mempunyai mesej-mesej tertentu yang ingin disampaikan. Malah, mesej inilah juga salah satu sebab mengapa seorang penulis itu ingin menulis.
Penulis perlu menggunakan cara yang berkesan bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca dapat difahami dengan tepat. Sama juga lah dengan kehidupan seharian kita, dalam hidup ini kita banyak berkomunikasi dengan orang lain. Sudah semestinya kita mahu orang faham akan apa yang kita ingin sampaikan, maka kita mesti menggunakan ayat yang jelas.
Ada pula masanya kita ingin menyampaikan mesej berbentuk sindiran disebabkan alasan-alasan tertentu. Apa yang saya faham, dalam penulisan juga begitu. Penulis boleh menggunakan ayat-ayat sindiran, menggunakan perumpamaan, ataupun menggunakan watak gantian. Contohnya menggunakan watak ayam bagi menggantikan watak individu yang telah melakukan kesalahan, penulis tidak berhasrat menyatakan siapa yang telah membuat salah tersebut tetapi penulis ingin memberitahu bahawa perlakuan tersebut salah.
Apa yang telah saya pelajari ialah penulisan mempunyai kaedah yang sama dengan penyampaian lisan, cuma bezanya penulisan di atas kertas. Teknik-teknik dan cara-cara penyampaian yang betul adalah yang paling penting.
No comments:
Post a Comment